Dipetik dari KOSMO (5 Februari 2012)
Ruqaya merupakan atlet wanita Islam yang menutup aurat ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik Beijing |
‘SUKAN adalah antara jihad umat Islam di dunia’. Agak pelik bunyi kenyataan ini tetapi ia mempunyai pengertian tersendiri.“Ini kerana pengorbanan dan kesungguhan yang dicurahkan atlet demi
untuk mengharumkan nama negara di persada dunia sukan adalah satu bentuk
jihad walaupun ia tidak sehebat jihad di medan perang,” kata Ketua Unit
Hal Ehwal Islam Cawangan Khidmat Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN),
Ustaz Mohammad Hasnol Bakar.Dia menambah, definisi jihad jangan disalah anggap kerana ia mempunyai pengertian yang luas.
“Jihad dalam pengertian dunia moden sekarang ialah pengorbanan tenaga
yang dilakukan secara bersungguh-sungguh untuk mencapai kemakmuran dan
keunggulan yang mendatangkan manfaat kepada ummah.
“Dan sukan juga adalah salah satu bentuk jihad umat Islam di akhir
zaman jika kena dengan niatnya dan tidak bercanggah dengan ajaran
Islam,” jelasnya.
Malah menurut Muhammad Hasnol, sejarah membuktikan bahawa pemimpin
agung umat Islam iaitu Nabi Muhammad sendiri pernah berdakwah mengunakan
medium sukan.
“Ini berlaku apabila Nabi telah dicabar beberapa kali oleh ahli gusti
dari kaum Quraish di Makkah yang bernama Rukanah Abu Yazid untuk
bergusti dengannya dan sanggup memeluk Islam jika Nabi mampu
mengalahkannya dalam tiga pusingan.
“Baginda menyahut cabaran itu dan kemudian menewaskan Rukanah. Ini
secara tidak langsung membuktikan bahawa umat Islam pada zaman itu
mempunyai kekuatan fizikal kerana mengamalkan aktiviti bersukan dalam
kehidupan mereka,” katanya.
Menurut Muhammad Hasnol lagi, Nabi pernah menyertai
sahabat-sahabatnya untuk bermain panah malah pernah berlumba kuda dengan
isteri baginda, Siti Aishah.
Menutup aurat tidak menghalang seseorang atlet bersaing untuk mencapai kemenangan |
“Bagaimanapun, batas-batas seperti pergaulan bebas antara lelaki dan
wanita sehingga mendatangkan kemudaratan pada jiwa, akal dan emosi
perlulah diambil berat agar ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam,”
katanya.
“Menutup aurat juga dituntut untuk atlet Islam dan ini tidak
menghalang atlet yang menutup aurat untuk bersaing dengan atlet lain dan
mencapai kemenangan,” katanya.
Ini terbukti pada Sukan Olimpik XXIX Beijing baru-baru ini, di mana
beberapa atlet wanita dari negara Islam seperti Homa Hosseini dari Iran
dan Shaimaa El-Gammal dari Mesir tetap menutup aurat mereka walaupun
sedang bertarung.
Contoh lain ialah pelari dari Bahrain, Roqaya al-Ghasara yang
bertudung tetapi masih mampu memenangi pingat emas ketika beraksi pada
Sukan Asia di Doha, Qatar pada 2006.
Muhammad Hasnol berkata negara Islam perlu menggiatkan sukan di
kalangan rakyatnya sendiri dan menjadikan sukan sebagai alat untuk
memajukan diri di peringkat antarabangsa.
“Walaupun negara Islam telah mewujudkan Sukan Perpaduan Negara Islam
yang mula diperkenalkan pada tahun 2005 di Arab Saudi namun ia belum
mencapai tahap yang boleh dibanggakan oleh seluruh umat Islam,” katanya.
– Bernama
No comments:
Post a Comment