Saturday, February 4, 2012

Sukan Satu Jihad

Dipetik dari KOSMO (5 Februari 2012)
Ruqaya merupakan atlet wanita Islam yang menutup aurat ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik Beijing
 ‘SUKAN adalah antara jihad umat Islam di dunia’. Agak pelik bunyi kenyataan ini tetapi ia mempunyai pengertian tersendiri.“Ini kerana pengorbanan dan kesungguhan yang dicurahkan atlet demi untuk mengharumkan nama negara di persada dunia sukan adalah satu bentuk jihad walaupun ia tidak sehebat jihad di medan perang,” kata Ketua Unit Hal Ehwal Islam Cawangan Khidmat Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN), Ustaz Mohammad Hasnol Bakar.Dia menambah, definisi jihad jangan disalah anggap kerana ia mempunyai pengertian yang luas.

“Jihad dalam pengertian dunia moden sekarang ialah pengorbanan tenaga yang dilakukan secara bersungguh-sungguh untuk mencapai kemakmuran dan keunggulan yang mendatangkan manfaat kepada ummah.

“Dan sukan juga adalah salah satu bentuk jihad umat Islam di akhir zaman jika kena dengan niatnya dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” jelasnya.

Malah menurut Muhammad Hasnol, sejarah membuktikan bahawa pemimpin agung umat Islam iaitu Nabi Muhammad sendiri pernah berdakwah mengunakan medium sukan.

“Ini berlaku apabila Nabi telah dicabar beberapa kali oleh ahli gusti dari kaum Quraish di Makkah yang bernama Rukanah Abu Yazid untuk bergusti dengannya dan sanggup memeluk Islam jika Nabi mampu mengalahkannya dalam tiga pusingan.

“Baginda menyahut cabaran itu dan kemudian menewaskan Rukanah. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa umat Islam pada zaman itu mempunyai kekuatan fizikal kerana mengamalkan aktiviti bersukan dalam kehidupan mereka,” katanya. 

Menurut Muhammad Hasnol lagi, Nabi pernah menyertai sahabat-sahabatnya untuk bermain panah malah pernah berlumba kuda dengan isteri baginda, Siti Aishah.
Menutup aurat tidak menghalang seseorang atlet bersaing untuk mencapai kemenangan
“Bagaimanapun, batas-batas seperti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita sehingga mendatangkan kemudaratan pada jiwa, akal dan emosi perlulah diambil berat agar ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya.

“Menutup aurat juga dituntut untuk atlet Islam dan ini tidak menghalang atlet yang menutup aurat untuk bersaing dengan atlet lain dan mencapai kemenangan,” katanya.

Ini terbukti pada Sukan Olimpik XXIX Beijing baru-baru ini, di mana beberapa atlet wanita dari negara Islam seperti Homa Hosseini dari Iran dan Shaimaa El-Gammal dari Mesir tetap menutup aurat mereka walaupun sedang bertarung.
Contoh lain ialah pelari dari Bahrain, Roqaya al-Ghasara yang bertudung tetapi masih mampu memenangi pingat emas ketika beraksi pada Sukan Asia di Doha, Qatar pada 2006.

Muhammad Hasnol berkata negara Islam perlu menggiatkan sukan di kalangan rakyatnya sendiri dan menjadikan sukan sebagai alat untuk memajukan diri di peringkat antarabangsa.

“Walaupun negara Islam telah mewujudkan Sukan Perpaduan Negara Islam yang mula diperkenalkan pada tahun 2005 di Arab Saudi namun ia belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan oleh seluruh umat Islam,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment