Saturday, February 4, 2012

Wanita dan Sukan Mengikut Persepktif Islam

Oleh : Suhaimi Yusuf, Mohd Irham Mohd Zainuddin, Dr Nelfianty Abdul Rashid (Sinar Harian)
25 Disember 2011
 
Bersukan bukanlah aktiviti asing buat mereka yang mementingkan kesihatan. Dengan bersukan, kekuatan fizikal dapat ditingkatkan, malah dalam al-Quran turut menggalakkan umat Islam mempersiapkan kekuatan fizikal.

Selain itu, terdapat hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa ALLAH SWT lebih menyukai mukmin kuat daripada mukmin lemah. Malah terdapat juga hadis Rasulullah SAW yang menggalakkan ibu bapa mengajar anak mereka berenang, memanah dan menunggang kuda.

Hal itu turut diberi penekanan Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyah al-Aulad sebagai antara bentuk pendidikan awal kepada kanak-kanak dari sudut pembinaan kekuatan fizikal. Oleh itu, jelaslah bahawa Islam juga sangat menitikberatkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi.

Sukan merupakan aktiviti yang memiliki banyak kelebihan tidak hanya terhad kepada kebaikan dari segi fizikal dan sosial, malahan psikologi. Kebaikan-kebaikan ini adalah sebagai keperluan asas untuk kedua-dua gender sebagai kaedah bagi memastikan tahap kesihatan fizikal mahupun emosi berada di dalam keadaan terbaik.

Pada asasnya, Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan, malah sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai aktiviti riadah menyihatkan. Rasulullah SAW turut menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai senaman yang paling mujarab.

Islam sebagai agama syumul senantiasa mengambil berat mengenai hal ehwal umatnya di samping menjaga hubungannya dengan Pencipta Yang Maha Agung. Walau bagaimanapun, Islam turut menetapkan beberapa syarat dan peraturan yang perlu diguna pakai sebagai rujukan dalam menjana setiap gerak-geri umatnya bertujuan tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki.

Dalam situasi ini, Islam menyediakan garis panduan bertujuan memelihara kehormatan golongan wanita Muslim daripada perkara yang boleh melanggar batas moral dan akidah Muslim.

Fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan bahawa: “Perkara asas yang perlu dititikberatkan seseorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.

Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga ke lutut. Justeru, selagi syarat dan peraturan penutupan aurat ini tidak dilanggar, maka tidaklah menjadi kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki membabitkan diri mereka di dalam aktiviti sukan.

Ketua di Jabatan Usul al Fiqh, Fakulti Syariah, Universiti Qatar, Dr Ali Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daaghi menambah: Tidak dapat disangkal bahawa agama Islam tidak pernah menghalang golongan wanita membabitkan diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira. Syarat-syarat itu adalah:
  • Wanita dilarang memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik perhatian golongan lelaki.
  • Wanita dilarang mendedahkan aurat mereka.
  • Wanita dilarang bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan.
Bersukan dan beriadah merupakan ‘hiasan hidup’. Justeru, berlebih-lebih sehingga mengorbankan perkara-perkara yang menjadi kehendak dan keperluan di dalam hidup apatah lagi jika perkara itu merupakan keperluan asasi adalah berlawanan dengan fitrah Islam.

Bagaimanapun, batas-batas seperti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita sehingga mendatangkan kemudaratan pada jiwa, akal dan emosi perlu diambil berat supaya ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Menutup aurat juga dituntut untuk atlet Islam dan ia tidak menghalang seseorang atlet untuk bersaing dengan atlet lain dan mencapai kemenangan,” katanya.

Ia terbukti pada kejohanan Olimpik Beijing yang baru berlalu di mana beberapa atlet wanita dari negara Islam seperti Homa Hosseini dari Iran dan Shaimaa El-Gammal dari Mesir tetap menutup aurat mereka walaupun sedang bertarung. Contoh lain ialah pelari dari Bahrin, Ruqaya al-Ghasara yang bertudung tetapi masih mampu memenangi pingat emas ketika beraksi di Sukan Asia di Doha, Qatar pada 2006.
Homa Hosseini bertanding dalam acara memanah
Ruqaya al-Ghasara
Oleh itu, adalah sesuai dengan syariat Islam sekiranya tempat dan waktu bersukan bagi lelaki dan wanita diasingkan supaya perkara melanggar syariat dapat dielakkan.

“Kita perlu menanam dalam diri dengan perasaan malu. Apabila perasaan malu hilang, maka musnahlah benteng yang menghalang kita melakukan perkara lebih dahsyat lagi sehingga kita bersedia meruntuhkan kehormatan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment